KENAPA BAYI BOLEH KENA JAUNDIS?
Semasa dalam kandungan, bayi perlukan sel darah merah yang banyak. Apabila dilahirkan, sel darah merah berlebihan ini akan dipecahkan dan menghasilkan bahan berwarna kuning yang dipanggil bilirubin. Memandangkan hati bayi baru lahir masih belum matang sepenuhnya untuk memproses bilirubin dengan cepat, warna kuning tersebut akan mula kelihatan pada kulit dan mata bayi.
JAUNDIS NORMAL VS JAUNDIS PERLU RISAU
Jaundis Normal (Fisiologi)
- Kuning kelihatan pada hari ke-2 atau ke-3 selepas lahir.
- Paras kuning biasanya mencapai kemuncak (peak) pada hari ke-4 hingga ke-5.
- Beransur hilang secara perlahan-lahan dalam tempoh 1 hingga 2 minggu (atau sehingga 3 minggu bagi bayi yang menyusu ibu sepenuhnya).
- Bayi kekal aktif, menyusu dengan baik, dan membuang air kecil serta besar secara teratur.
Jaundis Perlu Risau (Patologi)
- Kuning kelihatan seawal 24 jam pertama selepas lahir.
- Bacaan bilirubin naik terlalu cepat atau kekal terlalu tinggi.
- Najis bayi kelihatan pucat dan air kencing berwarna gelap.
- Bayi kelihatan sangat lesu, tidak mahu menyusu, mengantuk berlebihan, Jaundis berlarutan melebihi 14 hari
TINDAKAN MOMMY & DADDY DI RUMAH
- Kerapkan Penyusuan: Susukan bayi sekurang-kurangnya 8 hingga 12 kali sehari. Bilirubin diproses dan dibuang daripada badan bayi melalui najis dan air kencing. Semakin kerap bayi menyusu dan membuang, semakin cepat kuningnya turun.
- Elakkan Petua Berbahaya: Elakkan memberi bayi air masak, perahan anggur, susu kambing, atau menjemur bayi di bawah matahari terik tanpa pemantauan perubatan kerana kulit dan organ bayi masih sangat sensitif.
- Sentiasa Peka: Jika ada sebarang tanda amaran atau mommy rasa tidak sedap hati, terus bawa si kecil ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan paras bilirubin yang tepat.
Bertenang ya Mommy dan Daddy, jaundis ini boleh diuruskan dengan baik apabila kita ada ilmu yang betul dan sentiasa peka dengan perkembangan si kecil.