“BREAST ACCESSORIES” ATAU PAYUDARA TAMBAHAN MERUJUK KEPADA TISU PAYUDARA YANG TERBENTUK SELAIN DARIPADA PAYUDARA UTAMA.
Ia merupakan seolah-olah payudara ‘tambahan’ yang turut mengandungi tisu glandular (kelenjar susu), saluran susu dan kadang-kadang turut mempunyai struktur seperti puting, walaupun selalunya puting tersebut tidak terbentuk secara sempurna atau lengkap seperti payudara asal.
Bagaimanakah Ia Berfungsi? Walaupun tidak berada di lokasi biasa, payudara tambahan ini juga berfungsi hampir seperti payudara utama, kerana ia mampu menghasilkan susu mommies, terutama sekali ketika tubuh mommies sedang dalam fasa penyusuan. Ini bermakna, kawasan tersebut boleh mengalami pembengkakan dan penghasilan susu, sama seperti payudara utama.
Lokasi Kemunculan Payudara tambahan ini kebiasaannya muncul di sepanjang garis susu (milk line), iaitu laluan perkembangan payudara yang bermula dari ketiak, merentasi dada, dan berakhir di bahagian atas pusat. Oleh itu, ia boleh muncul di beberapa lokasi seperti:
-
Di bawah ketiak (paling kerap berlaku)
-
Atas dada
-
Bahagian perut atas
Risiko & Komplikasi Disebabkan fungsinya yang sama seperti payudara asal, sesetengah mommies boleh mengalami masalah mastitis (radang payudara) pada kawasan payudara tambahan ini, terutamanya jika saluran susu di kawasan tersebut tersumbat atau tidak dikeluarkan dengan lancar.
Pilihan Rawatan Sekiranya mommies merasa ketidakselesaan atau rasa terganggu apabila kawasan tersebut turut mengeluarkan susu, terutamanya semasa tempoh menyusukan anak, mommies boleh mendapatkan rawatan lanjut. Dalam kes tertentu, mommies boleh memilih untuk menjalani pembedahan bagi membuang tisu payudara tambahan tersebut, terutamanya jika ia menjejaskan kualiti hidup atau keselesaan harian.

