Penyusuan kerap dapat membantu menurun aras bilirubin dalam darah dan secara tak langsung menurunkan kuning. Ibu menyusu perlu pastikan bayi disusukan sekerapnya lebih kurang 1-2 jam sekali.
Menyusu dalam tempoh 15-20 minit untuk satu sesi dan satu payudara bagi memastikan bayi dapat cukup hindmilk. Untuk tahu bayi cukup susu lihat output. Jika air kencing warna kuning cair, najis kuning mustard in shaa Allah tanda susu cukup.
Jom kita lihat mitos nak turunkan jaundis:
-
Mitos: Beri air kosong atau air anggur untuk ‘mencuci’ jaundis Ramai yang percaya air kosong atau air anggur boleh bantu rawat jaundis. Sebenarnya, bayi di bawah 6 bulan tidak memerlukan air tambahan, dan hanya susu ibu sudah mencukupi untuk membuang bilirubin dari tubuh mereka.
-
Mitos: Susu ibu menyebabkan jaundis dan perlu dihentikan Ada yang percaya bahawa susu ibu menjadi punca jaundis, jadi ibu harus berhenti menyusu. Namun, jaundis pada bayi baru lahir adalah perkara biasa dan biasanya bersifat sementara. Susu ibu tidak menyebabkan jaundis; malah, menyusu kerap dapat membantu menyingkirkan bilirubin dengan lebih cepat.
-
Mitos: Menggunakan air rebusan herba atau daun tertentu pada bayi Memandikan bayi dengan air rebusan herba tidak terbukti secara perubatan dan mungkin menimbulkan reaksi alahan atau iritasi kulit pada bayi.
-
Mitos: Memberi susu kambing untuk turunkan jaundis Susu kambing kurang sesuai untuk bayi kerana risiko kekurangan folat, kandungan mineral terlalu tinggi untuk ginjal bayi, risiko alahan protein, dan kurang zat besi yang boleh menyebabkan anemia.
Sebenarnya, rawatan terbaik untuk jaundis adalah penyusuan kerap untuk membantu menyingkirkan bilirubin melalui perkumuhan. Ibu-ibu menyusu dapatkan bantuan kaunselor penyusuan jika tidak pasti tentang teknik penyusuan yang betul terutama posisi dan lekapan.

