BAYI SAYA TAK PANDAI HISAP?

Written on 07/07/2026
numommalaysia


 MUSTAHIL UNTUK BAYI YANG BARU DILAHIRKAN TIDAK TAHU MENGHISAP, SEKIRANYA BAYI TERSEBUT DILAHIRKAN DALAM KEADAAN YANG NORMAL.

Ini kerana setiap bayi secara semula jadi dilahirkan dengan refleks hisapan, atau dikenali sebagai "sucking reflex", yang merupakan salah satu refleks utama yang penting bagi kelangsungan hidup bayi pada peringkat awal kehidupan.

Refleks hisapan (sucking reflex) adalah tindak balas automatik yang berlaku secara semula jadi apabila rangsangan seperti sentuhan diberikan pada bahagian langit-langit atau atas mulut bayi. Apabila kawasan tersebut dirangsang, bayi secara automatik akan memberikan tindak balas dengan menghisap.



KEPENTINGAN SUCKING REFLEX DALAM PROSES PENYUSUAN

  • 1. Membantu Penyusuan yang Efektif Refleks hisapan memainkan peranan penting dalam membantu bayi untuk menghisap susu secara berkesan daripada payudara mommies. Apabila bayi melekap (latch) dengan betul pada payudara, refleks ini akan diaktifkan, lalu membolehkan bayi menghisap dan menelan susu dengan ritma yang sesuai. Proses ini memastikan bayi mendapat bekalan nutrisi yang mencukupi dan pertumbuhan yang sihat

  • 2. Merangsang Pengeluaran Susu mommies Tindakan hisapan bayi akan merangsang reseptor pada payudara mommies, yang seterusnya menghantar isyarat kepada otak untuk merembeskan dua hormon penting dalam penyusuan:

    • Prolaktin: Berperanan dalam merangsang penghasilan atau pembuatan susu ibu di dalam kilang susu.

    • Oksitosin: Membantu dalam proses pengaliran keluar susu atau dikenali sebagai refleks ejeksi susu (let-down reflex).

    Ini menunjukkan bahawa refleks hisapan bukan sahaja penting untuk bayi, malah secara langsung menyokong keberkesanan dan kelancaran proses penyusuan mommies.

  • 3. Memberikan Ketenangan Kepada Bayi (Non-Nutritive Sucking) Selain daripada fungsi pemakanan, refleks hisapan juga berfungsi sebagai mekanisme penenang semula jadi bagi bayi. Ramai bayi menghisap bukan semata-mata kerana lapar, tetapi juga sebagai cara untuk menenangkan diri, terutamanya dalam situasi yang membuatkan mereka tidak selesa atau resah. Bezanya, hisapan untuk tujuan menenangkan biasanya kurang kuat dan tidak seaktif ketika bayi sedang menyusu kerana lapar.