Susu sikit, milkbooster ke jawapannya? Cari punca utama dulu supaya tidak rumit nanti
Setiap anak memberikan pengalaman penyusuan yang berbeza-beza; mungkin anak pertama susu melimpah, manakala anak seterusnya pula dirasakan tidak mencukupi. Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi penghasilan susu seperti pemakanan, emosi, konsep demand & supply, masalah saluran tersumbat (blocked duct), pemilihan corong, serta jenis pam payudara yang digunakan.
Sebelum mencari "jalan singkat" dengan membeli pelbagai milkbooster, ibu perlu mengenal pasti punca sebenar masalah terlebih dahulu agar wang tidak dibazirkan tanpa menyelesaikan isu utama.
Biasanya saya akan tanya dulu beberapa soalan. Ibu kenalah jawab dengan telus dan jujur supaya mudah nak kenal pasti punca. Ibu memang tak boleh harapkan saya untuk terus je bagi tips nak tambah susu kalau masalah utama tak dapat dikenal pasti.
Dan kalau ibu terus ambil milkbooster tapi tak ada juga peningkatan susu, sebenarnya yang silap bukan milkbooster, tapi kerana ibu tak kenal pasti 'masalah' dan nak 'jalan singkat' sahaja. Maka berhabis duit tapi masalah tak juga selesai
Berikut adalah beberapa kaedah asas untuk meningkatkan permintaan (demand) susu anda secara efektif:
-
Amalkan Tandem Pumping: Kaedah menyusu bayi secara terus pada sebelah payudara sambil mengepam pada sebelah lagi membolehkan payudara menerima stimulasi berganda. Isyarat hormon yang dihantar akan menjadi lebih kuat, sekali gus membantu meningkatkan penghasilan susu dengan lebih cepat.
-
Tambah Sesi Mengepam: Jika ibu berkemampuan, bangunlah pada waktu tengah malam antara jam 12 hingga 6 pagi untuk menambah sesi perahan kerana pada waktu ini kadar hormon prolaktin adalah paling tinggi. Namun, pastikan ibu juga mendapat rehat yang mencukupi agar tidak terlalu letih.
-
Lakukan Power Pumping: Lakukan teknik ini sekali sehari pada waktu yang sama setiap hari secara konsisten selama 2 minggu berturut-turut. Kesabaran adalah kunci utama kerana teknik ini memerlukan masa untuk menunjukkan hasil yang nyata.
-
Minum Air Suam Sebelum & Selepas Mengepam: Cecair atau bendalir di dalam badan yang telah digunakan untuk penghasilan susu perlulah diganti semula selepas setiap sesi perahan atau penyusuan untuk mengelakkan hidrasi terganggu.
-
Jaga Emosi dan Urus Stres: Faktor kepenatan dan stres sangat berkait rapat dengan hormon oksitosin yang membantu pengeluaran susu. Jika emosi ibu terganggu, hormon ini akan merosot dan secara automatik menyebabkan susu berkurangan. Di sinilah peranan suami sangat penting untuk meringankan tugasan isteri dan menjaga emosinya agar perjalanan menyusukan anak selama 2 tahun berjaya dicapai.
Ingatlah: Berhujahlah dengan ilmu dan jangan sesekali hanya merujuk kepada pengalaman orang lain yang tidak tahu, kerana ia boleh menjadikan ibu lebih keliru dalam perjalanan penyusuan ini.

