WAWANCARA INSAN GURU PROFESSIONAL - NALA NIRMALA

Written on 04/02/2026
numommalaysia


 

Apa mommies?

Baru-baru ini, saya rasa sangat terharu bila didatangi oleh sekumpulan mahasiswa dari universiti saya sendiri, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kumpulan yang menggelarkan diri mereka Nala Nirmala ini menemubual saya untuk kursus Insan Guru Profesional (KPG3013).

Melihat wajah-wajah bakal pendidik ini, teringat pula zaman saya di UPSI sekitar tahun 2005 hingga 2009. Malah, saya juga merupakan alumni ROTU Batch ke-2 di sana!

13 Tahun Sebagai Guru Kimia

Ramai yang mungkin mengenali saya sebagai Lactation Counselor atau Founder Numom hari ini. Namun, ramai yang tidak tahu saya pernah berkhidmat selama 13 tahun sebagai Guru Kimia di sekolah kerajaan di Johor.

Walaupun kini saya sudah bersara awal dan bergelar usahawan sepenuh masa, jiwa "Cikgu Kimia" itu sebenarnya masih tebal. Cuma bezanya, sekarang "bilik darjah" saya adalah di media sosial dan platform Numom, manakala "silibus" saya adalah ilmu penyusuan susu ibu.


Apa Yang Saya Kongsikan Bersama Adik-Adik UPSI?

Dalam sesi wawancara tersebut, saya tekankan bahawa untuk menjadi seorang profesional—sama ada guru mahupun kaunselor laktasi—memerlukan tiga nilai penting:

  1. Sentiasa Rendah Diri (Humble): Walaupun saya diberi rezeki menjadi rujukan tokoh-tokoh hebat dan selebriti, saya tetap ingatkan diri saya: Keep humble. Ilmu Allah ini luas, kita sentiasa ada ruang untuk belajar.

  2. Sifat Empati: Di sekolah, kita perlu faham murid. Di Numom, saya perlu faham susah payah mommies. Tanpa empati, kita hanya memberi arahan, bukan memberi sokongan.

  3. Konsisten & Sabar: Kalau di sekolah kita hadapi kerenah pelajar, di media sosial saya hadapi kecaman netizen. Kuncinya? Buat kerana Allah, bukan kerana pujian manusia. Insya-Allah, cabaran itu akan jadi hikmah.


Misi 1 Juta Ibu 2030

Saya juga kongsikan impian besar saya. Saya mahu membantu 1 juta ibu berjaya menyusukan bayi mereka secara eksklusif menjelang tahun 2030. Memandangkan kadar penyusuan eksklusif di Malaysia baru mencecah 47%, saya perlukan lebih ramai "pendidik" dalam bidang laktasi untuk sama-sama berjuang.

Pesanan Saya Buat Bakal Pendidik

Kepada kumpulan Nala Nirmala dan semua pelajar UPSI, teruskan perjuangan kalian. Profesionalisme itu bukan sekadar pada sijil, tapi pada nilai murni yang kita bawa dalam setiap tindakan.

"Menjadi profesional itu kerjaya, tetapi memberi manfaat kepada orang lain itu adalah satu keberkatan."Pn Nad Masrom